PADA minggu lalu, sebuah makalah berjudul The 22 Best Writing Tips Ever oleh Melissa Donovan menerusi Writing Forward telah berjaya menawan kecenderungan saya untuk berkongsi serba sedikit info yang menarik buat para pembaca khususnya buat sahabat sepenulisan sekalian. Sedar atau tidak, dunia kini mampu dikuasai dengan hanya melalui percantuman aksara yang membentuk tulisan. Dengan tulisan, perkara benar bisa menjadi dusta. Begitu juga sebaliknya. Menurut makalah yang dikongsikan, Melissa Donovan telah menyenaraikan beberapa petua yang meliputi asas-asas dan aspek terpenting bagi menghasilkan sesebuah penulisan yang terbaik dan cemerlang. Jika diamati sepintas lalu, kesemua petua yang diberikan tidaklah begitu asing dengan kehidupan seharian buat sesiapa sahaja yang ingin memulakan penulisan. Namun begitu, bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dijadikan sebagai rutin berkala buat mereka yang tidak terbiasa dengan hal-hal baharu. ‘Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!’
Secara keseluruhan, saya amat bersetuju dengan salah satu isi yang ditekankan dalam makalah tersebut iaitu setiap penulis merupakan pembaca terlebih dahulu. Membaca itu modal bagi seorang penulis! Bahkan merupakan syarat mutlak untuk menjadi penulis. Hal ini dikatakan demikian kerana, seakan sedia maklum manusia mampu menguasai sejumlah ilmu pengetahuan yang tinggi dengan membaca. Tambahan pula, membaca dapat membawa penulis untuk mengamati atau merasai sendiri peristiwa-peristiwa baharu dengan mencampuradukkan pelbagai emosi, pemikiran dan perasaan. Gaya penulisan sesuatu karya itu juga mampu diperoleh. Di samping bersetuju dengan hampir kesemua petua yang ditekankan, sukacitanya saya juga ingin berkongsi petua dan pandangan peribadi dalam menghasilkan sesebuah penulisan yang baik. Dalam memulakan penulisan, acap kali saya akan memainkan senarai instrumen lagu-lagu yang berbeza untuk membawa emosi yang berbaur ke atas kertas dari halaman ke halaman, dari perkataan ke perkataan. Akhir sekali, saya cukup yakin bahawa para pembaca mendapat banyak manfaat serta terinspirasi untuk terus menulis setelah mengetahui petua-petua yang telah dikongsikan.
Sekian, terima kasih.
Komentar yang bernas!
ReplyDelete