Usai PdPC hari ini, kami berpeluang melaksanakan program 5S di bilik guru. Meja dialihkan, habuk disapu dan fail diatur rapi. Dalam pada itu, saya sempat menyaksikan ada getar rasa yang berat di hati para guru ketika memegang bahan-bahan lama yang sudah sekian tahun menemani perjalanan kerjaya mereka.

Kertas yang sudah kekuningan, buku rekod yang penuh catatan tangan, gambar-gambar murid yang pernah singgah dalam lembaran zaman, semuanya bercerita tanpa suara. Ada kenangan dan detik yang membuatkan hati tertahan, lalu tangan yang ingin membuang menjadi sedikit ragu. Setiap helaian seperti menyimpan sebahagian jiwa yang pernah dicurahkan.

Barangkali, inilah yang mengajarkan kita bahawa membersih bukan hanya soal ruang yang lapang, tetapi juga hati yang rela melepaskan. Nostalgia tidak pernah benar-benar dibuang; sekadar berpindah tempat, dari rak yang berhabuk ke dalam ingatan yang kekal. ✑

 

Comments

Popular posts from this blog