Posts

Image
Saudara, saya belajar menghargai sepi yang bernyawa. Saya masih menghantar pesan, walau adakalanya tiada sebarang balasan. Kerana saya tahu, masih ada mata yang membaca, masih ada nadi seseorang di seberang sana. Saya tidak lagi kecewa pada sepi. Selagi masih ada yang membaca, selagi itu masih ada sesuatu yang hidup antara dua jiwa. Saudara, teman saya tidak sebertuah itu. Sahabat baiknya telah pulang. Pesanannya kini hanya terpantul ke dasar sunyi. Tiada gema yang kembali. Tiada sahutan yang didengari. Kini, hanya kiriman doa yang berlayar; doa yang tidak pernah putus dari kasih seorang sahabat yang tulus. ✑
Image
Gigi bongsu saya, entah untuk kali ke berapa, berdenyut lagi. Kali ini, sakitnya bukan hanya di rahang, tetapi seakan menjalar perlahan ke seluruh tubuh. Adakah ini petanda saya sedang dinaik taraf ke versi manusia yang luar biasa, atau sekadar isyarat supaya saya berhenti mengunyah ayam goreng buat sementara?  ✑
Image
Masa itu sama, tetapi nilainya tidak serupa. ✑
Image
Cuti sekolah kembali lagi. Seperti lazimnya, mak dan abah tidak akan melepaskan peluang memenuhi deretan undangan perkahwinan yang berkunjung saban musim. Antara keseronokan yang masih mampu menggembirakan hati saya yang polos ialah saat mereka membawa pulang beg-beg kecil berisi goodies daripada majlis yang dihadiri. Saya seperti anak kecil yang keriangan, mengintai-intai isi di dalamnya. Antara ‘dapatan’ utama saya hari ini termasuklah kek coklat Apollo , gula-gula Mentos dan yang paling mempesonakan ialah dua lilin LED ini.  Saya membawanya masuk ke dalam bilik. Suis lilin dihidupkan, lalu cahaya kuning redup memantul lembut di sudut kamar. Cantik sekali! Jiwa kecil saya tidak sabar menanti malam. Saya mahu memperagakan lilin itu dalam gelap agar cahayanya tampak lebih hidup di tengah hening yang memeluk malam. ✑
Image
Saya masih belajar...
Image
Saya jarang menceritakan hal ini. Tahun 2012, tahun kehilangan yang menggugurkan sebahagian jiwa remaja saya. Saya kehilangan seorang sahabat baik, dan walau masa terus berlari, peristiwa itu masih basah dalam ingatan saya. Malam pemergian N, kami warga SUKSES berhimpun di Surau An-Nur. Dalam suasana hening, suara abah yang kebetulan bertugas sebagai warden malam itu membawa khabar yang menukar seluruh suasana menjadi pilu. Saya yang duduk di saf hadapan di balik tirai pembahagi, hanya mampu terpaku. Dada sesak, lidah kelu. Saat membacakan Surah Yasin, setiap kalimah terasa bagai bening yang menyayat. Malam itu saya tidak lena. Bayang wajah N masih mengekori di setiap kelipan mata. Keesokannya, saya tetap ke sekolah, menunaikan rutin yang sama seperti hari-hari sebelumnya. Namun dalam ramai, hati saya sepi. Dalam hiruk-pikuk, jiwa saya sunyi. Tiada siapa yang benar-benar tahu betapa beratnya kehilangan N. Dalam kelas Bahasa Inggeris, ketika suasana tenang, tiba-tiba segalanya pecah...
Image
Pagi ini, pandangan saya tertumpu pada seorang ayah yang membonceng dua orang anaknya ke sekolah. Dalam gerimis lembut itu, saya melihat kasih yang tidak diucapkan, hanya dititip melalui genggaman erat dan langkah yang serentak ke masa depan. Saya tahu, anak kecil di belakang itu mungkin belum mengerti makna saat ini. Namun kelak, apabila waktu sudah mengajarnya tentang rindu dan kehilangan, dia pasti akan menoleh dan menyedari bahawa kebahagiaan pernah hadir sesederhana itu. ✑
Image
Kita sering alpa menghargai yang ada. Saat masih di depan mata, kehadiran sering dianggap biasa. Hingga akhirnya tiada, barulah kita mengerti makna yang tersisa. ✑
Image
Jalan takdir.  Saya baru berkesempatan mencatat di ruang ini. Saudara, FD akhirnya pulang ke negeri abadi. Ya, sebuah pemulangan yang meninggalkan denai sepi dalam diri kami. Sebelum menapak masuk ke kelas pagi tadi, saya sempat menelusuri ruang galeri, membelek satu demi satu kenangan, merenung detik-detik akhir perjalanan FD menuju sisi Ilahi. Ada rindu yang tidak sempat terucap, ada kenangan yang terus hidup di dasar ingatan. Sampai masa, saya akan menziarahinya lagi. Semoga hati ini cukup kuat saat tiba di pintu 'rumah' FD. Mengiringimu lewat doa dan al-Fatihah, Farah Damia binti Iskandar.  ✑
Image
  Setiap perjalanan bermula dengan satu langkah kecil. Semoga kembara ini menjadi wadah istimewa yang menyingkap detik-detik indah penuh makna. ✑