Posts

Showing posts from August, 2025
Image
Dirgahayu Malaysiaku!  ✑
Image
Bagaimanakah mungkin saudara lena dibuai mimpi, sedang di sisi lain ada jiwa yang terjaga, gelisah dek perbuatan saudara sendiri? ✑
Image
Daripada T buat kami. Setelah hampir tiga minggu bercuti sakit, T akhirnya kembali ke ruangan kerja. Namun begitu, dia tidak seperti dahulu. Kesakitan telah meragut seri ceria yang pernah mekar di raut wajahnya. Hati saya pilu. Saya panjatkan doa, semoga sakitnya diangkat dan senyumannya kembali bercahaya seperti selalu. ✑
Image
Ramai di antara mereka yang masih tidak mampu membaca jam analog. Mereka lebih menggemari jam digital. Tidaklah salah, tetapi adakah kita tidak perlu mempelajari detik masa dalam bentuk asalnya? Bukankah lebih baik jika kedua-duanya dikuasai? Hari ini saya berkesempatan membimbing sebuah kelas, memperkenalkan kembali seni membaca jam analog, lalu mengaitkannya dengan sifir lima. Sesuatu yang dahulu begitu asas bagi kita, kini kelihatan asing di mata mereka. Barangkali asas itu semakin terhakis, tertimbus oleh arus moden yang serba pantas. Walaupun begitu, dari sorot mata mereka yang ingin tahu, terbit keyakinan bahawa ilmu lama ini tidak pernah benar-benar mati, hanya menunggu masa untuk kembali dihargai. ✑
Image
Pemberian yang tertangguh.  ✑
Image
Saya sengaja memutarkan beberapa buah lagu rawak di dalam kelas hari ini. Irama yang silih berganti itu saya harapkan mampu membuka ruang makna, agar mereka menulis bukan sekadar dengan akal, tetapi juga dengan jiwa. Saya mahu mereka menulis, biar sederhana, asalkan lahir dari kedalaman rasa. ✑
Image
Mudahnya manusia melempar kata. Tanpa sedar kata-kata itu akhirnya membekaskan luka, meninggalkan parut yang sukar sirna buat si penerima. Dan dari parut itulah lahir sebuah cerita, tentang betapa rapuhnya hati apabila diperlakukan tanpa rasa. Tidakkah saudara tahu bahawa setiap butir bicara mampu menjadi bisa yang menoreh luka?  ✑
Image
Image
Tabiat saya yang gemar berjalan laju sejak dahulu masih kekal terbawa hingga ke hari ini. Barangkali sebab itu, ada waktunya saya berasa geram melihat murid-murid yang melangkah sambalewa, sedangkan seorang guru telah lama duduk termangu di ruang ilmu. Mereka masih memilih untuk berlengah-lengah. Bukankah mereka jauh lebih muda dan bertenaga? Alangkah indahnya jika setiap tapak mereka dihayati sebagai amanah, bukan sekadar gerakan kosong yang membawa lesu tanpa arah.  ✑
Image
Kebiasaannya sebelum berangkat tugas, saya akan memetik suis radio kecil di penjuru kamar. Segmen kegemaran yang berkumandang menjadikan pagi saya lebih hidup dan bermakna. Sehinggalah ke ruangan kerja. Suara radio memecah sunyi, mengusir hening yang lama menghuni. Kata mereka, saya telah menyuntik kehidupan seni ke ruang yang sebelumnya sepi. Radio bukan sekadar kotak yang berlagu dan berbicara, tetapi teman setia yang mengiringi hari-hari dengan semangat dan cerita. ✑
Image
Siri ini membawa saya menyelam ke dasar dunia kehakiman yang sarat dengan kisah pesalah juvana. Di balik tirai setiap babak, timbul persoalan yang terus berulang: Adakah hukuman hari ini hukuman yang wajar? Adakah hukuman itu dapat membela nasib mangsa? Dan paling meresahkan, apakah pesalah itu akan benar-benar bermuhasabah diri, atau hanya menanti masa berlalu di sebalik tirai besi, tanpa pernah menjemput cahaya insaf ke dalam hati? Saya kira keadilan bukan semata-mata tentang menghukum, tetapi tentang bagaimana manusia belajar, sedar dan memilih untuk tidak mengulangi lagi kesilapan yang pernah menggelapkan hidupnya. Kerana pada akhirnya, keadilan yang sejati bukan sahaja menuntut balasan, tetapi juga membuka ruang untuk perubahan, agar setiap jiwa yang tersesat masih diberi peluang menemukan jalan pulang. ✑
Image
Saya hampir kehilangan gema suaranya. Ya, kian pudar di tepi ingatan. Saya gentar andai akhirnya nanti saya benar-benar tidak mampu lagi mengingatinya, dan pada saat itu, lenyaplah satu dunia kecil yang pernah hidup dalam diri saya. ✑  
Image
Bilakah kali terakhir saudara disapa dengan bacaan doa yang begitu indah, lalu menggetarkan rasa sebak hingga menitiskan air mata? Hari ini, kami didengarkan dengan bait doa yang sarat dengan emosi dan maknawi. Santun doanya mengalir lembut, menyentuh segenap rasa tentang tanggungjawab seorang guru. Seluruh dewan tenggelam dalam haru. Kedengaran esakan kecil yang cuba disembunyikan.  Sendu.  Doa itu menjadi hembusan semangat lantas mengingatkan kami bahawa perjuangan ini bukan sekadar tuntutan, tetapi ibadah yang meninggalkan bekas abadi sepanjang zaman. ✑
Image
Perkampungan tiga hari dua malam di Alor Gajah, Melaka telah menemukan saya dengan papan kayu ini. Sudah lama saya meninggalkan katil bertingkat sejak zaman persekolahan. Pada papan sebeginilah dahulu saya sematkan nota-nota angan dan renungan. Setiap kepingan dibaca sebelum mata terpejam lena. Papan kayu itu menjadi saksi bisu kepada impian seorang anak muda yang percaya bahawa esok pasti ada untuk menuntut usaha. Kini, dalam kamar sederhana ini, papan yang seakan sama kembali menundukkan pandangan saya. Zaman berlalu, namun semangat itu masih terus bernyala, persis cahaya kecil yang enggan lenyap di balik kayu yang kian renta. ✑
Image
Mengemis ruang di hati yang tak sudi. Ternyata saya seorang saja yang masih bermimpi. ✑  
Image
EN tidak pernah lupa menghadiahi kami sesuatu setiap kali pulang dari perjalanan yang panjang.  Moga usia EN terus subur dengan keberkatan. Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-31 buat kakandaku, EN. Terima kasih kerana terus menyitir akan falsafah memberi. Semoga setiap kebaikan yang ditaburkan kembali berbunga menjadi bahagia yang mekar sepanjang lembaran kehidupan EN. ✑
Image
Usai PdPC hari ini, kami berpeluang melaksanakan program 5S di bilik guru. Meja dialihkan, habuk disapu dan fail diatur rapi. Dalam pada itu, saya sempat menyaksikan ada getar rasa yang berat di hati para guru ketika memegang bahan-bahan lama yang sudah sekian tahun menemani perjalanan kerjaya mereka. Kertas yang sudah kekuningan, buku rekod yang penuh catatan tangan, gambar-gambar murid yang pernah singgah dalam lembaran zaman, semuanya bercerita tanpa suara. Ada kenangan dan detik yang membuatkan hati tertahan, lalu tangan yang ingin membuang menjadi sedikit ragu. Setiap helaian seperti menyimpan sebahagian jiwa yang pernah dicurahkan. Barangkali, inilah yang mengajarkan kita bahawa membersih bukan hanya soal ruang yang lapang, tetapi juga hati yang rela melepaskan. Nostalgia tidak pernah benar-benar dibuang; sekadar berpindah tempat, dari rak yang berhabuk ke dalam ingatan yang kekal. ✑  
Image
Ditertawakan lantas ditinggalkan di tengah riuh yang tidak lagi menghiraukan, seakan-akan setiap luka yang dipikul hanyalah hiburan dan cerita ringan. ✑
Image
Pada akhirnya, kita hanyalah bidak yang sering dipermainkan. ✑  
Image
Hingga ke saat ini, hampir setiap hari saya masih dikurniakan nikmat keluangan untuk menonton siri-siri di Netflix. Saya seronok dapat berlari sebentar dan memasuki lingkungan yang jauh dari rutinitas. Meskipun begitu, saya dihantui satu keresahan yang besar setiap kali tirai sebuah siri berlabuh. Saya bimbang, mampukah saya menemukan lagi sebuah karya yang cukup indah dan benar-benar menggugah? ✑  
Image
Ya, banyak yang ingin saya ceritakan. Namun kerana sempadan yang kian canggung, akhirnya saya relakan segalanya musnah dalam semu dan diam. ✑
Image
Sudah beberapa malam ini saya tidur dengan mengenakan jam di pergelangan tangan. Bukan kerana lupa untuk menanggalkan, tetapi kerana ada kepuasan aneh yang sukar untuk saya gambarkan. Pernahkah saudara begitu menggemari sesuatu, hingga dibawa lena pun masih setia bersamanya? ✑
Image
Dalam terkejar-kejar mahu ke kelas siang tadi, NM sempat menyuakan kuih seri muka dan meminta saya untuk mengambilnya beberapa. Jujurnya, kuih tersebut bukanlah menjadi pilihan teratas saya dalam senarai kuih tradisional. Namun, tak semena-mena saya mengambilnya tiga! Alahai, entah apalah yang saya fikirkan pada waktu itu. Tetapi, saya tidak dapat menikmatinya terus kerana ada sahutan lain yang lebih utama. Saya simpan seri muka NM di dalam bekas bekalan harian saya yang telah dicuci bersih.  Saya hampir tidak teringat akan seri muka NM itu hinggalah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah usai mesyuarat. Saat masa terus mengepung, saya menjamah seri muka pemberian NM di dalam kereta. Ketika suapan pertama, saya mengucap kuat, "Ya Allah, sedapnya!" Sepanjang perjalanan, saya menyitirnya berkali-kali. Siapa sangka kuih yang bukan menjadi pilihan utama saya itu, saya berjaya habiskan semua. Saya bersyukur dikurniakan kesihatan untuk merasai nikmat makan , setiap kali suapan. Se...
Image
Hanya kerana dia muda, tidak bererti dia layak menanggung segalanya. Tidak wajar bahu yang masih belajar berdiri, diletak beban seberat amanah yang belum sempat dimengerti. Entah sampai bilakah putaran budaya kerja sebegini akan terus dilazimi? Oh, saya orang kecil. Siapalah yang peduli. ✑
Image
Musim peperiksaan kembali menjengah. Sebelum melangkah masuk ke ruang ujian pagi tadi, saya sempat terdengar beberapa orang murid berkata, “Hari ini kertas BM je .” — seakan bahasa ini tidak lagi punya nilai di mata mereka. Benarkah begitu? Saya rasakan bahawa kehormatan terhadap bahasa Melayu yang saya cintai ini kian mati. Sadis memang sadis! ✑
Image
Lagi tentang perihal kesakitan. Kelmarin, saya menerima khabar duka tentang abah N yang kini terlantar sakit. Banyak lelah yang terkumpul dan terhimpun. Alangkah leganya saya jika bisa mendakapnya agar sebahagian rasa sedihnya dapat saya pikul bersama. Saya berdoa moga N sekeluarga diberikan kelapangan hati dan dikurniakan kemudahan yang tidak ada kesulitan sesudahnya. ✑
Image
Telefon tidak harus berdering lama. Penantian yang terlajak panjang akhirnya menukar pertanyaan dan pernyataan itu menjadi nada bujukan, seolah-olah merayu agar diberi perhatian. Pada saat itulah, kekecewaan menjelma bersama rasa malu yang diam-diam menggigit dalam. ✑
Image
Melangkah keluar dari wad FD — seakan keluar dari kurungan halusinasi. Setiap detik, Dia mencoretkan takdir yang tersendiri; ada yang dihiasi bahagia, ada juga yang sarat dengan gulana. Semoga FD lekas sembuh dan kami juga segera pulih dari duka yang berselindung dalam tawa.  ✑